Istana Negara terus jadi tumpuan

Iklan
Keadaan semasa di hadapan pekarangan Pintu 2, Istana Negara pada pagi Rabu.

SHAH ALAM - Tumpuan hari ini pasti terarah di Istana Negara susulan 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN) dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 10.30 pagi nanti.

Seawal jam 9 pagi lagi, puluhan pengamal media dari dalam dan luar negara mula berkumpul di Pintu 2 Istana Negara bagi membuat liputan mengenai perkembangan yang dinanti-nanti ini.

Iklan
Iklan

Pada Selasa, Seri Paduka Baginda menitahkan 30 ahli Dewan Rakyat daripada BN menghadap pada jam 10.30 pagi Rabu di Istana Negara.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, pertemuan itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua gabungan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 4.30 petang Selasa.

Iklan

Jelas beliau, proses ini dilakukan bagi membolehkan Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat, yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, difahamkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang malam Selasa memutuskan untuk memohon perkenan untuk menangguhkan pertemuan dengan Seri Paduka Baginda yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi ini.

Iklan

Ia susulan gabungan itu masih kekal dengan pendirian dibuat sebelum ini untuk tidak menyokong PH atau PN bagi membentuk kerajaan.

Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri yang memasuki hari keempat hari ini menyaksikan masih tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.

Walaupun PH dan PN masing-masing sebelum ini menyatakan keyakinan memperoleh sokongan mencukupi, namun keputusan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional BN melibatkan pimpinan utama gabungan tersebut di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada pagi Selasa menjawab segalanya.

BN yang dilihat menjadi 'king maker' membuat keputusan untuk kekal sebagai pembangkang dan tidak menyokong mana- mana gabungan bagi membentuk kerajaan, sekali gus menyukarkan PH dan PN mencapai majoriti mudah 112 sokongan ahli Dewan Rakyat.