Cubaan seludup lebih 7 tan minyak masak peket tumpas

Iklan
Dua penguat kuasa KPDNHEP menunjukkan minyak masak peket dalam kotak yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. - Foto KPDNHEP

BACHOK - Tindakan pantas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup 7.14 tan metrik minyak masak peket di Kampung Beris Kubur Besar di sini, pada Selasa.

Serbuan menerusi Op Membanteras Ketirisan Barang Kawalan pada jam 4.40 petang itu dijalankan bersama polis Bachok dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Tumpat.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Azman Ismail berkata, pasukan menerima maklumat risikan berhubung beberapa kenderaan mencurigakan berada di belakang sebuah premis tanpa nombor di kawasan kampung itu.

"Anggota sebuan bertindak menyerbu premis tersebut, namun kumpulan lelaki itu menyedari kehadiran kami lalu bertindak memecut kenderaan dengan laju bagi meloloskan diri, bahkan ada yang lari ke kawasan semak berhampiran,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui minyak masak bersubsidi sebanyak 7.4 tan metrik dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM17,850 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Pasukan bertindak menyita minyak masak bersubsidi tersebut. Lima kenderaan berpendaftaran tempatan dengan anggaran nilai berjumlah RM 97,450 turut dirampas untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Iklan

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Pengguna boleh menyalurkan aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil KPDNHEP Kelantan," ujarnya.