SHAH ALAM - Laman sosial TikTok memaklumkan telah memadam hantaran kandungan berkaitan rusuhan kaum 13 Mei 1969 kerana ia melanggar Garis Panduan Komuniti pihaknya.
Dalam satu kenyataan, TikTok berkata, pihaknya tidak mempunyai toleransi terhadap sebarang bentuk ucapan kebencian, keganasan dan ekstremisme.
Iklan
Iklan
"Kami akan terus berwaspada pada tahap tinggi dan memadam sebarang kandungan yang melanggar secara agresif, termasuk video, audio, strim langsung, imej, ulasan, pautan atau teks lain.
"Ahli komuniti kami juga boleh menggunakan fungsi pelaporan dalam aplikasi untuk melaporkan sebarang kandungan berbahaya dengan segera,” katanya pada Rabu.
Sebelum ini beberapa hantaran memberi amaran kemungkinan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969 dikesan di TikTok dengan beberapa ratus ribu tontonan dan perkongsian seterusnya.
Video itu muncul selepas hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu berakhir dengan keputusan Parlimen tergantung.
Tambah TikTok, pihaknya sentiasa berkomunikasi dengan badan berkaitan termasuklah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai akaun yang terlibat dalam pelanggaran atau berulang di platform.