Polis cari dalang sebar dakwaan rusuhan di Lenggong

Iklan
Mohd Yusri menunjukkan gambar-gambar yang tersebar di media sosial dakwaan berlaku rusuhan di Lenggong pada Isnin.

IPOH - Polis Perak sedang mengesan dalang utama penyebaran maklumat dan gambar mendakwa berlaku rusuhan serta perhimpunan haram dalam kalangan ahli UMNO di Lenggong pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan bahagian Cawangan Khas mendapati tidak berlaku sebarang rusuhan di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua gambar tersebar yang turut memaparkan Unit Tempur Ringan (LSF) itu juga adalah palsu dan disalah guna bagi tujuan menimbulkan situasi tidak aman dalam kalangan rakyat.

"Turut tular pesanan suara mengajak orang ramai berkumpul di Bangunan UMNO Lenggong, kediaman menteri besar dan sebagainya.

Iklan

"Saya nyatakan bahawa semua dakwaan itu adalah palsu dan ia sama sekali tidak berlaku. Kita akan jalankan siasatan untuk mencari punca dan individu yang terlibat dalam perkara ini," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Rabu.

Dakwaan tular menerusi aplikasi Tik Tok, Twitter dan WhatsApp itu disebarkan selepas Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15.

Iklan

Khabar angin itu menyebut bahawa ahli akar umbi UMNO menolak kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, sebanyak 15 sekatan jalan raya (SJR) telah didirikan di semua daerah termasuk Lenggong sebagai langkah kesiapsiagaan sepanjang tempoh pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, SJR berkenaan telah dimulakan pada Selasa di lokasi tumpuan dan akan diteruskan sehingga keadaan benar-benar aman tanpa sebarang risiko keselamatan kepada orang awam.

"Dengan SJR ini, kita nak pastikan tidak ada dakwaan kawasan-kawasan tidak selamat sepertimana kes tular itu. Kita juga tidak mahu orang ramai ambil kesempatan berkumpul atau bergerak ke sana sini secara berkumpulan.

"Kita baharu sahaja melepasi fasa PRU dan kerajaan negeri baru ditubuhkan, jadi tanggungjawab polis untuk memastikan ketenteraman dan keselamatan awam terus terjaga," jelas beliau.