MARANG - Empat beradik lumpuh yang tinggal di Kampung Paya di sini, bergantung harap dan menumpang kasih bapa saudara setelah kedua ibu bapa mereka meninggal dunia.
Keempat-empat mereka menghidap penyakit inclution body myositis yang menyebabkan keadaan otot menjadi semakin lemah dan hilang upaya untuk bergerak secara berperingkat.
Nor Aini Omar, 52, berkata, dalam adik-beradiknya, dia yang pertama mengalami penyakit itu ketika berusia 22 tahun.
"Saya menanggung penyakit ini sejak 30 tahun lalu. Ketika itu saya masih belajar. Antara simptom awal yang saya alami ialah kaki kanan tidak mampu bergerak dan ia melarat ke kaki kiri.
"Selepas merebak ke kaki kiri, ia mula menyerang anggota badan yang lain. Saya kini terlantar dan sudah tidak mampu uruskan diri sendiri serta memerlukan bantuan untuk bergerak," katanya.
Nor Aini bersama tiga adik-beradiknya ditemui Sinar Harian sempena program agihan sumbangan oleh Sahabat Semboyan Terengganu Daerah Marang di sini.
Empat beradik itu kini bergantung harap kepada bapa saudara mereka, Roslan Salah, 56, setelah bapa dan ibu mereka meninggal dunia pada 2016 dan 2021.
"Ketika ibu bapa masih ada dan waktu peringkat awal mengalami penyakit ini, kami pernah juga dibawa untuk berubat secara tradisional. Namun belum berhasil lagi dan kini kami bergantung kepada ubatan hospital.
"Saya dan tiga lagi adik-beradik lain kini berharap kepada bapa saudara dan adik-adik untuk menguruskan diri termasuk menyuap makan, minum, mandi, solat dan sebagainya.
Sementara itu, anak sulung, Osmanna Aziz Omar, 54, berkata, dia mula mengalami simptom penyakit itu sejak berusia 27 tahun iaitu kira-kira tiga tahun selepas penyakit itu menyerang Nor Aini.
"Sebelum ini saya melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik. Pada 1994, saya mula tidak boleh memberikan tumpuan kepada kerja kerana kaki kanan saya mengalami simptom tidak kuat untuk bergerak dan ia berlaku juga kepada kaki sebelah kiri.
"Agak lama saya berkeadaan begitu dan selang 10 tahun kemudian saya sudah tidak mampu bangun sendiri dan kini hanya terlantar," kata bapa kepada dua anak itu.
Menurut Osmanna Aziz, selepas dia mengalami penyakit itu, adiknya, Osmanna Azman, 48, pula menerima nasib sama selang 10 tahun kemudian.
Katanya, adiknya itu kini masih mampu untuk bergerak menggunakan kerusi roda namun sering diserang sawan termasuk ketika sedang tidur.
"Ada masa dia tidak boleh bercakap. Apabila kita tanya dia tidak begitu faham dan tidak boleh menjawab soalan," jelasnya.
Selepas Osmanna Azman diserang penyakit sama, seorang lagi adiknya iaitu Mohd Adnan, 37, turut mengalami nasib serupa dan lebih teruk kerana kedua kakinya membesar seperti penyakit kaki gajah.
Menurut Mohd Adnan, dia mengalami penyakit itu ketika sedang belajar di Rawang, Selangor pada 2009.
"Pada mulanya saya boleh berjalan dan sempat bekerja selama empat tahun. Saya lumpuh sepenuhnya dan tidak boleh berjalan pada 2015," katanya.
Mohd Adnan menerima bantuan bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) manakala kakak dan dua abangnya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.
Selain itu, penjaga mereka, Roslan pula menerima bantuan JKM sebanyak RM500 sebulan.
Mohd Adnan berkata, bantuan diterima itu belum mampu menampung sepenuhnya keperluan harian memandangkan peningkatan kos barangan serta kos ubat-ubatan.
"Disebabkan bapa saudara saya pun tidak boleh keluar bekerja kerana menjaga kami di rumah, wang yang saya dapat ini turut dikongsikan untuk menampung perbelanjaan rumah.
"Sebelum ini, kami bertiga ada bermain permainan video (e-sport) secara dalam talian, namun setelah permainan itu ditutup kami hilang punca pendapatan sampingan.
"Hampir tiga tahun juga kami bermain permainan itu dengan pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sahabat Semboyan Terengganu Daerah Marang, Datuk Maarof Kasim berkata, masalah dialami keluarga itu sudah lama dalam perhatian badan bukan kerajaan (NGO) itu dan bantuan disalurkan dari semasa ke semasa.
"Antara barangan disumbangkan kepada keluarga ini ialah barangan keperluan asas makanan serta terdapat juga sumbangan perubatan bergantung kepada keperluan pesakit.
"Kita harap dengan bantuan ini ia sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan yang ditanggung," kata beliau.
Sahabat Semboyan Terengganu Daerah Marang sebelum itu turut menyantuni dua keluarga yang tinggal di kawasan berdekatan bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan.