SEREMBAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan disiplin parti politik yang kurang memuaskan kerana masih membuka barong-barong panas berhampiran pusat mengundi.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, hasil tinjauannya sendiri mendapati ada dua barong panas dibuka berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Sri Sendayan dan salah satu yang beroperasi adalah milik PH.
"Walaupun saya telah memberi amaran dua kali, tapi mereka hanya berhenti seketika sebelum mula balik. Sebenarnya kewujudan barong ini tak perlu pun.
"Sebab pengundi boleh semak maklumat melalui kad pengundi, aplikasi telefon dan laman web SPR. Malah, SPR sendiri mempunyai barong di setiap pusat mengundi untuk semak maklumat undian," katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Nyatoh di sini, hari ini.
Mengulas kenyataan calon PH, Dr S Streram yang tidak berpuas hati dengan kehadiran penyokong yang terlalu dekat dengan pusat mengundi, Azhar berkata, pegawai SPR telah diarahkan untuk menyuraikan mereka.
"Kalau kita suruh berhenti tapi mereka berkeras, kita guna pendekatan lembut. Kita akan rakam peristiwa itu dan buat laporan polis di kemudian hari.
"Kita tak nak paksa sebab tak mahu pergaduhan terjadi. Jika tidak, pengundi pun tak nak keluar mengundi sebab rasa tak selamat," katanya.
Beliau turut menggesa parti-parti politik agar lebih peka dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang.
"Perkara yang terang benderang begini berhentilah kerana beri imej tak baik. Kalau mereka menang nanti pun perkara ini boleh dibangkitkan dalam petisyen dan dijadikan isu," katanya.
Ditanya sama ada tindakan penyokong menunjukkan simbol nombor calon menggunakan jari boleh dikategorikan sebagai meraih undi, Azhar berkata, beliau tidak ada jawapan.
"Tapi kalau kita cuba nak buat isu, sila buat laporan. Jika dibawa ke mahkamah, kita serah kepada mahkamah buat keputusan.
"Maka, kita akan ada panduan pada masa depan. Tapi kalau tanya saya sekarang, saya pun tak tahu jawab," katanya.