Koperal maut tak sempat jumpa anak kesayangan

Iklan
Motosikal Honda RS150R yang ditunggang mangsa terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya di Kilometer 217.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, (arah selatan) awal pagi Rabu. Gambar kecil: Kamarul Arif

ALOR GAJAH - Hasrat seorang anggota polis berpangkat koperal untuk bertemu anak kesayangan yang sakit tidak kesampaian selepas dia terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 217.1, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) awal pagi Rabu.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi mangsa, Kamarul Arif Mat Noor, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150R dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas di Balai Polis Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, setiba di lokasi kejadian sebuah lori Isuzu yang membawa muatan perabot sedang berada di lorong tengah, namun dipercayai telah mengubah laluan ke lorong paling kiri.

Iklan

"Akibatnya mangsa yang difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah itu berada di lorong paling kiri cuba mengelak ke kanan.

"Namun menyebabkan mangsa terlanggar bahagian kanan belakang lori dan impak kejadian itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala pemandu lori dan kelindan berusia 42 serta 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kenderaan terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.