KUALA LUMPUR - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijangka mengadakan mesyuarat khas malam ini bagi membincangkan mengenai politik semasa dan prestasi buruk parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Media melaporkan mesyuarat itu akan berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia pada jam 8 malam.
Perkara tersebut disahkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden.
UMNO sepatutnya mengadakan mesyuarat berkenaan pada jam 3 petang Ahad lalu namun ditangguhkan pada saat akhir.
PRU15 menyaksikan UMNO memenangi 26 kerusi manakala MCA, MIC dan GPRS masing-masing satu kerusi
Dalam pilihan raya itu juga, PH memperolehi 82 kerusi Parlimen manakala PN pula 73.
Sementara itu, Ahli MKT UMNO lain iaitu Datuk Seri Jalaluddin Alias juga mengesahkan mesyuarat itu bakal diadakan.
Bagaimanapun, jelasnya, mesyuarat itu hanya melibatkan MKT dan bukan Ahli Parlimen BN.
"Malam ini saja MKT jam 8 malam," ujar beliau.