DI SEBALIK kejayaan Perancis membenam Australia 4-1 dalam saingan pembukaan Kumpulan D Piala Dunia pada Rabu, pengendali Perancis, Didier Deschamps memuji karakter pemusnah yang dimiliki ayam tambatan mereka, Kylian Mbappe.
Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu menyumbat satu gol dan satu bantuan jaringan untuk kemenangan berharga Les Blues yang dalam misi mempertahankan kejuaraan.
Mbappe menjadi remaja kedua selepas Pele pada 1958 yang menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia ketika Perancis menumpaskan Croatia untuk menjuarai kejohanan di Rusia empat tahun lalu.
Pada usia 23 tahun dan 337 hari, Mbappe merupakan pemain termuda yang telah menjaringkan lima gol Piala Dunia untuk Perancis, dan Deschamps menjangkakan dia terus cemerlang di Qatar.
"Kylian (Mbappe) telah menjadi salah seorang pemain terbaik dunia dan dia berasa sangat yakin.
"Anda boleh lihat cara dia bermain. Dia tenang dan menumpukan perhatian," ujar Deschamps.
Pada aksi itu, Australia terlebih dahulu di depan menerusi Craig Goodwin.
Bagaimanapun, Mbappe mencetuskan inspirasi kebangkitan Perancis pada separuh masa pertama apabila Adrien Rabiot dan Olivier Giroud menjaringkan gol untuk Les Bleus mendahului permainan.
Mbappe meletakkan Perancis selesa di depan menerusi jaringan ketiga sebelum melakukan lorongan buat Giroud untuk melengkapkan kemenangan bergaya Les Blues.
Deschamps turut menyifatkan Mbappe berada dalam prestasi terbaik ketika ini dan sangat bersedia untuk mengharungi saingan Piala Dunia edisi 2022.
"Dia sentiasa boleh bermain sebagai sebahagian daripada pasukan dan ia bagus untuk kami. Saya mempunyai ramai penyerang, tetapi Kylian sudah tentu seorang yang cemerlang," ujar Deschamps.