TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) melancarkan Produk Inovasi Komik Stem hasil inovasi penyelidik dari institusi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, suatu perkara yang hangat diperkatakan dan berkait dengan perkembangan Stem ialah Revolusi Industri 4.0.
Katanya, revolusi ini adalah berorientasikan transformasi digital dalam penggunaan mesin dan proses bagi menghasilkan produk yang berkualiti.
"Hal ini turut bermakna bahawa pada masa kini sistem pendidikan kita berdepan dengan cabaran untuk menghasilkan sumber manusia yang mencukupi dan memiliki kemahiran yang sesuai dengan revolusi tersebut.
"Cabaran ini diperhebatkan lagi dengan dakwaan yang menyatakan bahawa pada tahun 2020, dengan anggaran penduduk dunia mencecah 7.6 bilion, 50 bilion peranti elektronik akan saling berinteraksi antara satu sama lain.
Dr Amin berkata, ia juga menunjukkan jumlah peranti yang berkomunikasi adalah melebihi jumlah manusia dengan setiap manusia memiliki kira-kira 6.58 peranti elektronik.
Menurutnya, pengasas dan pengerusi eksekutif WEF, Klaus Schwab, menerusi bukunya The Fourth Industrial Revolution menjelaskan Industri 4.0 akan mengubah cara hidup dan cara kita bekerja. Perubahan ini dipacu oleh tiga domain teknologi yang utama iaitu fizikal, digital dan biologikal yang merentasi 9 tonggak Revolusi Industri 4.0.
"Revolusi Industri 4.0, kualiti kehidupan dan pekerjaan akan berhubung kait dengan pengetahuan dan kemahiran tentang simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan, analisis data raya dan robot automasi,”katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, kementerian, Dr Ahmad Rafee Che Kassim pada Majlis Pelancaran Produk Inovasi KOMIK STEM yang diadakan di Scholar’s Suites, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City,”katanya.
Hadir sama, Ketua Unit Stem Negara, KPM Dr. Ihsan Ismail, ketua Kluster Brain Behaviour, USM, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malim Abdullah dan Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa, Profesor Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah.
Penghasilan KOMIK Stem yang turut menggunakan khidmat daripada guru-guru cemerlang Sains dan Matematik ini terhasil dari satu kajian melalui geran yang diberi oleh EPRD iaitu ”Pembinaan dan Pengujian Komik Stem terhadap pencapaian Sains, Matematik dan KBAT dalam kalangan Murid Tahun Satu Daerah Hulu Langat, Selangor”.
Komik Stem merupakan sebuah komik yang khusus untuk murid Tahun Satu yang mengintegrasikan subjek Sains dan Matematik dalam satu komik dan isi kandungannya adalah selari dengan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP) Matematik tahun satu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) semakan dan ia turut menyokong agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyebar luas bidang Stem dan memantapkan pendidikan Stem di sekolah rendah dan menengah.
"Justeru, berhadapan dengan cabaran ini, bidang pendidikan juga harus ada perubahan dalam fokus, dan kita berharap dengan berkembangnya bidang Stem bahawa kita mampu memberikan pendidikan yang menepati tonggak Revolusi Industri 4.0 ini,” katanya.