Peneroka haram Yahudi belasah kanak-kanak Palestin

Iklan
Mangsa cedera selepas dibelasah sekumpulan peneroka haram Yahudi dalam kejadian di Tebing Barat pada Ahad lalu. - Agensi

RAMALLAH - Seorang kanak-kanak lelaki Palestin cedera parah di kepala selepas dibelasah tanpa belas kasihan oleh sekumpulan peneroka haram Yahudi di selatan Tebing Barat yang diduduki.

Lapor agensi berita WAFA memetik sumber keselamatan Palestin menyebut bahawa insiden itu berlaku pada petang Ahad lalu berhampiran penempatan haram Kiryat Arba di pinggir al-Khalil (Hebron).

Iklan
Iklan

Susulan serangan itu, Yazan al-Rajbi yang berusia lingkungan 12 tahun lebam dan luka di muka serta terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Dalam insiden berasingan, tentera Israel memukul dua remaja perempuan Palestin berhampiran penempatan Abi Ha Nahal di timur Baitulaham.

Iklan

Aktivis tempatan, Ahmad Ghazal memberitahu WAFA bahawa mangsa, Raghad dan Dina Abiyyat masing-masing berusia 13 serta 14 tahun dikasari kerana dituduh berada di kawasan tanah milik Israel.

Sementara itu, tindakan agresif tentera Israel semasa serbuan di bandar Nablus menyebabkan seorang remaja lelaki Palestin berusia 16 terbunuh.

Iklan

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan kematian Ahmad Amjad Shehadah selepas mangsa ditembak tepat pada bahagian jantung.

Serbuan di Nablus itu turut menyebabkan enam rakyat Palestin yang lain cedera dengan seorang mangsa dilaporkan kritikal.

Setakat ini jumlah kematian rakyat Palestin akibat tindakan ganas Israel di Tebing Barat sejak awal tahun ini meningkat kepada 200 orang, termasuk 57 remaja dan kanak-kanak.

Awal bulan ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebut bahawa 2022 adalah tahun paling berdarah dan paling dahsyat buat rakyat Palestin di Tebing Barat. - Agensi