BN perlu tawar CSA kepada gabungan parti politik

Iklan
Muhamad Nadzri - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

SHAH ALAM - Strategi semasa BN untuk kekal sebagai sebagai pembangkang tidak akan menjadi masalah, kata Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Bagaimanapun menurut beliau, BN perlu menawarkan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) kepada mana-mana gabungan parti politik untuk keluar daripada kebuntuan pada ketika ini.

Iklan
Iklan

Muhamad Nadzri berkata, perkara itu pernah dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini di mana gabungan berkenaan kekal bebas pada penggal yang lalu selepas mereka dijatuhkan.

"Kita faham BN agak ke tengah dan konservatif sikit. Ini bagus untuk semak dan imbang. Sebab kita masyarakat pelbagai ideologi, nilai, etnik, wilayah dan sebagainya tetapi perikatan tadi ini baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Iklan

"Mereka mewakili segmen-segmen berbeza yang mana untuk kita hidup secara saksama dan bersama, perlu ada semak dan imbang," katanya ketika menjadi panel dalam Program Sinar Live bertajuk 'PM Muhyiddin atau Anwar' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panel adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii; Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, manakala Hazwan Mokhtar bertindak sebagai moderator.

Iklan

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, Dewan Tertinggi BN membuat keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

Ismail Sabri berkata, BN tidak menyokong PH mahupun Perikatan Nasional (PN).