SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui persoalan yang dibangkitkan oleh netizen tentang kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan sukar diberikan penjelasan.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin turut melontarkan persoalan sekiranya ada cerdik pandai yang boleh memberikan jalan penyelesaian bagi menghadapi kemelut dihadapi ini.
"Apa penyelesaiannya? Kita sekarang dalam keadaan yang memimpin. Kita perlukan dukungan daripada parti-parti politik lain untuk melengkapkan struktur seperti mana dalam Perlembagaan yang disebut sebagai kerajaan.
"Saya lihat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) juga bukan senang untuk berdepan dengan situasi seperti ini.
"Tetapi kita harus memberikan keutamaan mengenai apa yang ingin kita lakukan demi negara dan rakyat yang kita sayangi," katanya ketika menjadi panel dalam Program Sinar Live bertajuk 'PM Muhyiddin atau Anwar' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panel adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii; Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor manakala Hazwan Mokhtar bertindak sebagai moderator.
Shamsul Iskandar yang bertanding mewakili PH di Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut mengakui menghadapi masalah seperti yang dibangkitkan oleh netizen mengenai kerjasama dengan BN itu.
"Saya pun menghadapi masalah itu. Saya lawan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Lawan bukan main-main tetapi lawan betul-betul. Dengan satu tekad untuk menang.
"Hampir menang, tetapi selepas beberapa hari Presiden saya duduk dengan Presiden UMNO. Tak usah cerita orang lain, cerita saya. Apa perasaan saya?
"Sebab itu saya sebut tadi bahawa kita mesti ada upaya untuk mengetepikan persoalan perasaan sendiri ataupun perasaan kelompok," ujarnya.