Kes Covid-19 meningkat, Beijing perketat kawalan

Iklan
Gambar hiasan - Foto fail Bernama

BEIJING - Peningkatan jumlah kes Covid-19 di China menyaksikan ibu kota Beijing, memperketat kawalan berkaitan Covid-19 dan keluar masuk ke ibu negara, dengan pihak berkuasa menggesa penduduknya duduk di rumah pada hujung minggu dan tidak membenarkan aktiviti makan di restoran di kebanyakan tempat.

Keputusan ujian PCR negatif dalam tempoh 48 jam, berbanding 72 jam sebelum ini, juga diperlukan untuk orang ramai memasuki tempat awam seperti pusat beli-belah, hotel, restoran, bangunan kerajaan mulai Khamis.

Iklan
Iklan

Negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu melaporkan kematian Covid-19 pertama negara dalam tempoh hampir enam bulan pada Ahad lepas, menimbulkan kebimbangan mengenai langkah lebih ketat yang mungkin diperkenalkan untuk membendung jangkitan berkenaan.

China melaporkan 28,127 kes tempatan baharu pada Isnin, dengan kes di bandar selatan Guangzhou dan perbandaran barat daya Chongqing menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah keseluruhan kes.

Iklan

Menurut suruhanjaya kesihatan negara, Beijing melaporkan lebih 2,400 kes dari Jumaat hingga 3 petang Isnin, dengan lebih 500 jangkitan dikenal pasti di luar zon kuarantin melalui saringan ujian peringkat komuniti.

Pada Ahad, pihak berkuasa turut menggesa penduduk di daerah terbesar Beijing iaitu Chaoyang, yang menempatkan hampir 3.5 juta orang serta pejabat kedutaan dan hab perniagaan untuk duduk di rumah terutamanya pada hujung minggu.

Iklan

Beijing menghadapi 'saat paling kritikal dan paling sukar' untuk menangani Covid-19, kata Liu Xiaofeng, Timbalan Pengarah Pusat Beijing bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC).

Berdasarkan pemerhatian wartawan Bernama yang turut tinggal di daerah Chaoyang, orang ramai mula membeli bekalan makanan sejak beberapa hari lepas sebagai persediaan jika berlakunya perintah berkurung di kediaman masing-masing, selain beberapa perkhidmatan penghantaran mengalami kelewatan.

Beberapa pusat beli-belah terbesar di Beijing dan taman dan kawasan pelancongan juga ditutup, manakala yang lain memendekkan waktu operasi selain beberapa pejabat di hab perniagaan dan diplomatik daerah Chaoyang meminta syarikat memberitahu pekerja mereka bekerja dari rumah.

Restoran dan premis makanan juga hanya menjual makanan dan minuman secara bungkus balik (take-away) dan petugas turut memeriksa status kesihatan berkaitan Covid-19 menerusi aplikasi kesihatan individu dengan lebih terperinci.

Pesanan khidmat ringkas dan panggilan telefon berisi peringatan untuk mematuhi segala peraturan dan keperluan untuk menjalani ujian Covid-19 juga kerap diterima, hampir setiap hari, menyaksikan barisan panjang orang ramai beratur di stesen-stesen ujian yang terdapat di kota Beijing.

Kebanyakan penuntut universiti di Beijing juga tidak dibenarkan keluar semenjak minggu lepas.

"Bagaimanapun, kami diberikan makanan tiga kali sehari dan perlu menjalani ujian Covid-19 hampir setiap hari,” kata seorang penuntut University of International Business and Economics kepada Bernama.

Sementara itu, mereka yang memasuki Beijing juga perlu menjalani ujian Covid-19 selama tiga hari berturut-turut dan tidak dibenarkan keluar sehingga keputusan ujian negatif diperoleh, manakala di sesetengah kediaman, tetamu luar turut tidak dibenarkan masuk. - Bernama