BN perlu buat keputusan secara 'en bloc': Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) perlu membuat keputusan secara 'en bloc' atau bersama secara keseluruhan sebelum memutuskan bersama Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebelum calon-calon Ahli Parlimen BN menerima watikah pencalonan, mereka perlu menandatangani empat dokumen perundangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, empat dokumen itu adalah pertama surat tawaran, kedua adalah surat akuan bersumpah, ketiga surat perjanjian pencalonan dan keempat adalah surat aku janji.

"Secara jelas juga dokumen itu memberi mandat kepada presiden BN secara prerogatif (hak istimewa) untuk berunding soal pembentukan kerajaan ataupun pencalonan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya kepada media di Ibu Pejabat UMNO bagi menghadiri mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi parti itu malam Rabu.

Iklan

Asyraf berkata, sesiapa yang melanggar atau secara individu memberi sokongan kepada Perdana Menteri gabungan lain akan menyebabkan jawatan mereka terlucut dengan sendirinya.

"Di bawah Akta Anti Lompat Parti beliau kena mengosongkan kerusi tersebut. Mungkin 10 orang ini (menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri) terlupa perkara semasa mereka tandatangan sokongan mereka. Jadi jawatankuasa tertinggi BN mahu mereka tarik balik.

Iklan

"Sebab itu, semasa Muhyiddin menghadap Yang di Pertuan Agong, beliau berkata ada 115 sokongan tetapi istana cakap tidak ada. Kalau tidak beliau sudah boleh angkat sumpah sebagai Perdana Menteri," katanya.

Pada pagi Rabu, tiga pemimpin BN diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11.24 pagi selepas kira-kira 40 minit memasuki kawasan berkenaan.

Dua lagi pemimpin gabungan itu yang dilihat meninggalkan Istana Negara melalui pintu dua adalah Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.