TASEK GELUGOR - Kebakaran di sebuah hotel enam tingkat di Sadao, Songkhla, Selatan Thailand semalam dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, beliau dimaklumkan bahawa berlaku litar pintas di hotel berkenaan sekali gus menolak dakwaan kejadian itu berlaku disebabkan sabotaj mahupun serangan pengganas.
"Saya difahamkan bahawa berlakunya litar pintas elektrik kesan daripada kebakaran tersebut, bukannya ada sabotaj atau serangan daripada pengganas.
"Ini berlaku kerana litar pintas. Kita mendapat laporan daripada Konsulat Jeneral kita di Songkhla bahawa seramai 15 orang rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam kebakaran tersebut.
"Difahamkan hanya lapan orang sahaja dibawa ke rumah sakit iaitu di Hospital Hatyai, Hospital Padang Besar dan Hospital Songkhla.
"Tujuh yang lain dirawat sebagai pesakit luar. Alhamdulillah tidak ada yang terkorban,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Selamat, di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 8.25 pagi (waktu tempatan) itu, kesemua mangsa yang bercuti di wilayah itu sempena sambutan Songkran berjaya menyelamatkan diri dengan keluar ke balkoni bilik dan tingkap bangunan sebelum diselamatkan oleh orang ramai.
Marzuki berkata kesemua mangsa yang masih menerima rawatan di hospital dilaporkan dalam keadaan stabil dan pihaknya akan memantau perkembangan di sana dari masa ke semasa.
ARTIKEL BERKAITAN: 8 rakyat Malaysia antara 16 terhidu asap tebal
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia yang berada di negara itu untuk menyambut pesta Songkran supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan diri masing-masing.
Menurutnya, difahamkan ramai penduduk di negara ini terutama di utara yang berkunjung ke Thailand seperti Phuket dan Hatyai untuk meraikan pesta Songkran.
"Bila kita nak menyambut musim perayaan ini memanglah kadang-kadang keinginan untuk merasakan suasana itu terlalu tinggi tetapi di dalam masa yang sama kita harus ingat keselamatan diri kerana kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku terutama kepada rakyat kita.
"Jadi, saya harap mereka dapat menjaga diri dengan baik dan kalau ada sebarang kemusykilan sila lapor kepada konsulat kita terutama di Hatyai," katanya.- Bernama