PRU15: Mohamad Sofee calon PH di Padang Serai

Iklan
Mohamad Sofee (kanan) diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi Parlimen Padang Serai pada Rabu.

KULIM - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah, Dr Mohamad Sofee Razak diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu majlis yang diadakan di sini, pada Rabu.

Iklan
Iklan

Mohamad Sofee, 47, sebelum ini pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil pada PRU14.

Peguam berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu juga merupakan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah.

Iklan

Pilihan raya Parlimen Padang Serai sebelum ini terpaksa ditangguhkan kepada 7 Disember susulan kematian calon PH, Karupaiya Mutusami, 69, akibat serangan jantung di Hospital Kulim, Kedah jam 2.27 petang, Rabu minggu lalu.

Pada PRU14, Karupaiya telah memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,813 selepas menewaskan Datuk Dr Leong Yong Kong (MCA) dan Muhammad Sobri Osman (Pas).

Iklan

Pada penamaan calon sebelum ini, kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru yang mana Karupaiya ditentang calon BN, Datuk Sivaraj Chandran; Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Amanda AK (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam 6 Disember.