GOMBAK - Bahan kempen yang dipasang semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu perlu diturunkan sebelum 3 Disember depan bagi mengelak wang cagaran lebur.
Tempoh dua minggu diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada parti yang bertanding untuk membersihkan bahan kempen tersebut sejurus PRU15 tamat.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Gombak dan Selayang mendapati kebanyakan bendera parti dilihat masih berkibaran di sekitar jalan-jalan utama.
Bagaimanapun Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, terdapat parti yang telah menurunkan bahan kempen tersebut untuk digunakan semula untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka tahun depan.
"Kami telah melaksanakan pemantauan sejak kempen dilaksanakan lagi bagi memastikan bendera yang dipasang tidak mengganggu dan membahayakan pengguna.
"MPS berharap bahan kempen tersebut dibersihkan mengikut tempoh ditetapkan bagi menjaga kebersihan dan keindahan serta keselamatan pengguna," katanya pada Rabu.
Beliau memaklumkan, calon akan kehilangan cagaran RM2, 000 jika gagal menurunkan bahan kempen mengikut tempoh ditetapkan.
PRU15 pada Sabtu lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi manakala BN dengan 30 kerusi.
Di Selangor, PH menang 16 kerusi manakala PN dengan enam kerusi sementara BN gagal memenangi mana-mana kerusi.