SHAH ALAM - Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) sekali lagi disifatkan tidak sesuai buat masa sekarang kerana terdapat pelbagai isu termasuk bajet dan musim banjir pada Disember.
Penganalisis politik, Badrul Hisham Ismail berkata, perkara tersebut akan memberi kebimbangan kepada rakyat sekiranya ia tetap dilaksanakan.
Menurut beliau, rakyat tiada masalah untuk menunggu kepimpinan baharu memandangkan kerajaan lama masih kekal sebagai kerajaan sementara atau ‘caretaker goverment'.
"Kerajaan tiada satu atau dua minggu, ia masih boleh berfungsi sebagai sebuah negara," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Drama politik belum berakhir yang disiarkan secara langsung di semua platform Digital Sinar Harian pada Rabu.
Turut diundang menjadi panelis Felo Kanan Akademik Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan.
Badrul Hisham juga turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sistem baharu bagi memudahkan proses pengundian diadakan.
"Sekarang zaman teknologi, tidak perlu susahkan rakyat untuk mengundi secara fizikal.
"Oleh itu, bagus sekiranya sistem pengundian ini dirombak balik bagi memudahkan rakyat terutamanya yang tinggal jauh daripada tempat mereka mengundi," katanya.