JUARA edisi 2010, Sepanyol berpesta gol apabila membelasah Costa Rica 7-0 dalam saingan Kumpulan E Piala Dunia di Stadium Al Thumama sebentar tadi.
Skuad La Roja yang dibimbing bekas jurulatih Barcelona, Luis Enrique membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi Dani Olmo.
Berbekal gol semangat itu, Sepanyol mengandakan asakan dan ia membuahkan hasil apabila pemain sayap, Marco Asencio meledak gol kedua 10 minit kemudian.
Penyerang Barca, Ferran Torres kemudian memastikan kedudukan selesa buat Sepanyol apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-31.
Sepakan itu diperoleh selepas Jordi Alba dijatuhkan oleh Oscar Duarte di dalam kotak penalti.
Bersambung babak kedua, Sepanyol terus ghairah menyerang dan Torres sekali lagi menjadi watak penjaring untuk menewaskan Keylor Navas buat kali keempat pada minit ke-54.
Tanpa belas ihsan Sepanyol dilihat tidak mengurangkan tempo permainan sebaliknya terus mengatur gerak untuk memburu gol.
Ia kemudian membuahkan hasil apabila tiba giliran Gavi untuk meledak gol kelima La Roja pada minit ke-74.
Gavi yang berusia 18 tahun 110 hari mencipta sensasi tersendiri apabila menjadi penjaring ketiga termuda dalam sejarah Piala Dunia selepas Pele dan Manuel Mosas.
Skuad La Roja meneruskan malam gemilang menuju ke penghujung perlawanan apabila Carlos Soles turut mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-90
Gawang Costa Rica kemudian bergegar lagi buat kali ketujuh menerusi Alvaro Morata pada minit ke-92.
Sepanyol selepas ini akan menentang gergasi Eropah, Jerman pada 28 November.
Jerman pada aksi pembuka tirai dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada jagoan Asia, Jepun.
Costa Rica pula akan membuat perhitungan dengan Jepun pada 27 November.