KUALA TERENGGANU - Seorang penjual buah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan melakukan perbuatan khianat selepas perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC pada malam Isnin lalu.
Tertuduh, Mohamad Hadi Wahab, 27 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan membaling objek keras ke arah bas E-Mutiara yang membawa penyokong dan pegawai Selangor FC sehingga menyebabkan kerugian RM15,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam 12.05 tengah malam di pekarangan Stadium Sultan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Nerus, pada Isnin lalu.
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 427 kanun keseksaan yang membawa hukuman tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun penjara atau denda atau kedua duanya sekali.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 oleh seorang penjamin serta menetapkan 26 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam
Sebelum ini, seorang lelaki berusia 27 tahun berasal dari Manir ditahan ketika melakukan perbuatan tersebut di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
Ia susulan laporan yang dibuat pengurusan Selangor FC di Balai Polis Gong Badak dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.