Segerakan bentuk kerajaan Pahang, fokus bantu rakyat

Iklan
Setakat ini, belum ada sebarang perkembangan berkaitan pembentukan kerajaan negeri baharu. Gambar kecil: Mara, Mohammad Hairil, Fatimah Bibi, Umar Shukri. - Foto Bernama

KUANTAN - Rakyat Pahang mahu urusan pembentukan kerajaan negeri segera dimuktamadkan bagi membolehkan usaha pengukuhan ekonomi dapat dilakukan.

Rata-rata mereka tidak mahu situasi Kerajaan Pahang tergantung begitu lama kerana ia boleh memberi kesan terhadap pentadbiran negara, ekonomi dan kepentingan rakyat.

Iklan
Iklan

Bagi pesara, Umar Shukri Abd Rashid, 62, rakyat sudah memberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu dan pemimpin seharusnya sudah membuat keputusan untuk bergabung dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan negeri.

Tegasnya, pembentukan kerajaan tidak sepatutnya dilengah-lengahkan sebaliknya pemimpin politik perlu sepakat membentuk satu gagasan kerajaan perpaduan bagi membolehkan pentadbiran negeri berjalan dengan baik.

Iklan

"Tubuh sahaja unity government (Kerajaan Perpaduan) sebab rakyat sudah beri mandat. Parti yang menang bergabung antara satu sama lain sebagai contoh BN (16 kerusi) dan Perikatan Nasional (PN) pula sebanyak 17 kerusi daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.

"Jadi, tidak salah mereka bergabung bentuk kerajaan kerana ini adalah pilihan rakyat dan pemilihan Menteri Besar pula boleh dilantik berdasarkan parti mana mempunyai kerusi paling banyak," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

"Rakyat sudah buat keputusan, jadi parti politik kena akur yang mereka menang separuh (tidak mendapat majoriti) dan terima hakikat bahawa perlu ada satu gabungan untuk menubuhkan kerajaan," ujar Umar Shukri.

Peniaga kedai runcit, Fatimah Bibi Syed Khan, 60, pula mengakui tidak kisah parti politik mana yang hendak bergabung sama ada BN-PH mahupun BN dengan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, sebaliknya perkara yang paling utama perlu dilakukan pemimpin politik adalah memastikan kerajaan stabil, selain membantu rakyat, menangani isu harga barang dan mengutamakan keselamatan.

"Kita tidak kisah gabungan parti mana, asalkan ada kerajaan dan kalau boleh memberi khidmat terbaik untuk rakyat.

"Kita semua sudah menjalankan tanggungjawab pada Sabtu lalu, jadi kepimpinan parti diharap boleh berfikir dan membuat keputusan baik untuk rakyat," jelas ringkas.

Sementara itu, peniaga, Azlina Lia Bakar, 55, berkata, kerajaan perlu dibentuk segera supaya masalah rakyat yang tertangguh terutama berkaitan kos sara hidup yang semakin tinggi dapat diatasi.

Ujarnya, peningkatan kos rasa hidup menyebabkan ketua keluarga yang bekerja berasa terbeban.

Mengambil kira perkara itu, Azlina Lia yang menetap di Kampung Permatang Badak mengingatkan wakil rakyat yang baru dipilih supaya berhenti berpolitik.

"Saya rasa cukuplah berpolitik, selepas satu bab satu bab (lain pula timbul) dan pelbagai ragam yang ada.

"(Lebih baik) bantu rakyat atasi kenaikan harga barang, tingkatkan ekonomi negara agar rakyat mendapat manfaat bersama," luah ibu kepada lima anak itu.

Senada dengan Azlina Lia, suri rumah, Mara Mahat, 57, juga mahu percepatkan pembentukan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat dapat dibantu.

"Saya harap pemimpin yang menangi pilihan raya Sabtu lalu dapat membuat keputusan yang baik," katanya ringkas.

Mohammad Hairil Hafizan Azhar, 24, yang bekerja sebagai peniaga juga mengharapkan isu kerajaan tergantung dapat diselesaikan segera.

"Saya mahu kerajaan Pahang terus stabil kerana rakyat akan berdepan kegawatan ekonomi dunia. Kalau boleh sediakan banyak peluang kepada anak muda," jelasnya.