JOHOR BAHRU - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong perlu meletakkan jawatan susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi MCA Bahagian Mersing, Tan Ah Fatt berkata, Menteri Pengangkutan itu harus bertanggungjawab atas kegagalan dan memberi ruang kepada generasi baharu memimpin MCA.
"Masyarakat Cina hari ini jelas menyatakan pendirian mereka dalam PRU15 apabila menolak MCA, namun presiden masih melanggar kehendak masyarakat Cina.
"MCA Bahagian Mersing termasuk Pemuda MCA Bahagian Mersing dengan ini menggesa Presiden supaya mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk parti dalam PRU15 dengan meletakkan jawatannya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Ah Fatt menyifatkan tindakan Presiden MCA meminta Setiausaha Agungnya mengeluarkan kenyataan sebagai melucukan apabila menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, untuk berundur kerana kegagalan pada PRU15.
"Presiden bukan sahaja gagal memimpin seluruh parti dan pemimpin akar umbi dengan hala tuju dan strategi yang jelas selepas pilihan raya, malah meminta pula Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon mengeluarkan kenyataan meminta Pengerusi BN berundur.
"Kenapakah presiden tidak berani mengeluarkan kenyataan sendiri supaya Pengerusi BN meletak jawatan, sebaliknya meminta Setiausaha Agungnya menanggung beban.
"Adakah ini bermakna Presiden MCA tidak perlu menanggung tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan teruk parti pada PRU15," katanya.
Ah Fatt berkata, Ka Siong selaku pemimpin nombor satu dalam parti seolah-olah menafikan kegagalan beliau dalam memimpin parti ini apabila beliau menolak tanggungjawab kekalahan ini kepada Ahmad Zahid.