KUALA LUMPUR - Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri ke-10 adalah atas kehendak rakyat.
Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, BN akur untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PH sepertimana yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Tahniah kepada Datuk Seri Anwar yang berjuang begitu lama dan akhirnya dipilih. Ini adalah kehendak rakyat melalui melalui Pilihan Raya ke-15 (PRU15).
"Atas titah Tuanku, BN akur untuk membentuk kerajaan perpaduan dan akhirnya (jawatan) Perdana Menteri ke-10 menjadi milik Datuk Seri Anwar," katanya semasa sidang akhbar di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin terdahulu berkenan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 setelah Seri Paduka Baginda memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu pada sesi perbincangan khas yang berlangsung bermula jam 11 pagi Khamis.
Jamal menjelaskan, BN menjunjung titah Seri Paduka Baginda dalam keadaan gabungan parti itu ditolak oleh rakyat tak kira bangsa Melayu, Cina dan India serta mendapat kerusi Parlimen yang paling sedikit dalam sejarah.
Justeru, beliau menegaskan, BN yakin dengan pembentukan kerajaan perpaduan negara akan lebih dipercayai dan kembali pada kemuncaknya seperti sebelum PRU14.
"PH dan BN masing-masing sudah mempunyai pengalaman memerintah jadi sudah pasti pengalaman-pengalaman ini dijadikan panduan untuk mentadbir negara.
"Yang mustahaknya negara perlu ditadbir dengan baik kerana dalam tempoh sepenggal sebelum ini, kerajaan yang ada tidak stabil menyebabkan banyak pembangunan tidak dapat dilaksanakan," ujar beliau.
Jamal memberitahu, ketika ini juga dapat dilihat nilai ringgit dan pasaran saham jatuh.
"Oleh itu saya harap keadaan ini akan pulih kembali dan rakyat dapat menerima Datuk Seri Anwar. Jadi kita tunggu bagaimana lima tahun pentadbiran kerajaan perpaduan antara PH dan BN ini," jelasnya lagi.