Piala AFF: Pan Gon umum sasaran selepas aksi pemanas badan

Iklan
Noor Azman Rahman

SASARAN skuad Harimau Malaya bagi saingan Piala AFF 2022, hanya akan ditetapkan selepas menilai prestasi skuad berkenaan dalam dua aksi pemanas badan menentang Kemboja dan Maldives, bulan hadapan.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, Ketua Jurulatih Kim Pan Gon, akan mengumumkan sasaran berkenaan selepas menilai dan menyenarai pendek 23 pemain untuk saingan tersebut, pada pertengahan bulan depan.

Iklan
Iklan

Pada Rabu, FAM menyenaraikan 29 pemain untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 29 November ini, menjelang aksi persahabatan menentang Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil dan berdepan Maldives pada 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Iklan

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bagi saingan Piala AFF kali ini, akan membuka kempen menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti bertemu Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menutup saingan kumpulan berdepan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari hadapan.

Bagi edisi 2020 yang berlangsung di Singapura pada Disember 2021, skuad Harimau Malaya tersingkir seawal peringkat kumpulan, manakala pencapaian terbaik ialah muncul juara edisi 2010.

Iklan

Mengulas lanjut, Noor Azman optimis bahawa kesemua 29 pemain yang dipanggil ke kem latihan pada kali ini, akan melaporkan diri pada masa ditetapkan, selepas 12 pemain pada senarai awal, tidak dapat menyertai kem berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan Brunei akan menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai venue tuan rumah untuk saingan Piala AFF kali ini.

Brunei yang berada di Kumpulan A, akan melayan kunjungan juara bertahan Thailand pada 20 Disember dan Indonesia pada 26 Disember di venue berkenaan.

Sementara itu, menerusi jalinan kerjasama antara FAM dan Active Sports berjumlah RM1 juta untuk tempoh dua tahun, bola Puma Orbita FAM 2 akan digunakan pada pertandingan Piala Belia, Piala Presiden, Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) bermula musim 2023.

Pengurus Besar Puma Malaysia Steven Tan berkata, pihaknya melihat kolaborasi itu sebagai peluang untuk memikat lebih ramai anak muda di Malaysia, selain mahu mempromosikan bola sepak dalam kalangan wanita. - Bernama