Desak kerajaan selesai segera isu ban pecah

Iklan
Zulkafperi (dua dari kanan) meninjau keadaan ban yang sedang dibaik pulih di pesisir pantai Kampung Sungai Kajang, pada Khamis.

TANJONG KARANG - Kerajaan baharu didesak menyelesaikan segera isu ban pecah di Kampung Sungai Kajang di sini bagi menangani kejadian banjir di kawasan kediaman penduduk.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi berkata, benteng penahan ombak bernilai RM12 juta sudah diluluskan kerajaan terdahulu pada tahun 2019, namun sehingga kini projek itu masih menjadi tanda tanya.

Iklan
Iklan

"Justeru, saya menggesa kerajaan dipilih pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) memberi keutamaan segera menyelesaikan isu tersebut supaya tidak kembali berulang," katanya pada sidang akhbar selepas melawat kerja-kerja baik pulih ban pecah di pesisir pantai Kampung Sungai Kajang di sini, pada Khamis.

Zulkafperi memberitahu, pembinaan benteng penahan ombak perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kawasan berhampiran seperti di Kampung Baru Lembah Pantai membabitkan kira-kira 80 penduduk dan Pekan Tanjong Karang ditenggalami banjir.

Iklan

"Kawasan berhampiran pesisir pantai ini dahulunya kawasan paya bakau dan jika masalah ini berterusan saya bimbang keadaan bertambah teruk dan air laut boleh melimpah ke Pekan Tanjong Karang yang jaraknya hanya tiga kilometer dari pantai," ujar beliau.

Jelas Zulkafperi, kejadian ban pecah yang berlaku di kampung itu pada Rabu mengakibatkan rumah penduduk terjejas dan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Kampung Baru Lembah Pantai di sini, pada Khamis.

Iklan

Menurut beliau, beberapa langkah dilakukan selepas kawasan itu dilanda 'bah' antaranya dengan menambak tanah serta 1,000 guni beg pasir.

Jelasnya, langkah sementara itu diharap dapat mengurangkan impak sekiranya berlaku fenomena air pasang besar disusuli hujan lebat

"Keadaan semakin terkawal pada hari ini (Khamis) apabila air semakin surut berbanding pada semalam (Rabu) dan kita jangka ia dapat pulih sepenuhnya," jelas beliau.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, dua ban dilaporkan pecah mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Kampung Baru Lembah Pantai dan Kampung Ban RB, Sungai Sireh dinaiki air di sini pada Rabu.

Keadaan itu mengakibatkan seramai 111 mangsa dipindahkan di dua PPS Dewan Serbaguna Kampung Baru Lembah Pantai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh.