Amirudin cenderung kekal sebagai MB Selangor

Iklan
Amirudin - Foto Bernama

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau lebih cenderung untuk kekal sebagai peneraju kerajaan negeri buat masa sekarang.

Amirudin, yang memenangi kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lepas berkata, perbincangan untuk 'berpindah' portfolio di peringkat Persekutuan boleh dilakukan pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, pada Khamis sebagai mengulas kemungkinan menjadi menteri Pusat susulan pelantikan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, sebagai Perdana Menteri ke-10.

ADUN Sungai Tua itu juga berkata, beliau percaya tidak akan berlaku sebarang perubahan jawatan memandangkan tempoh pembubaran automatik DUN Selangor hanya berbaki enam atau tujuh bulan lagi.

Iklan

Amirudin, yang juga Naib Presiden PKR, memenangi kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 12,729 undi dalam pertandingan lima penjuru pada PRU15.

Katanya, banyak perancangan yang perlu dilaksana sebelum tempoh DUN berakhir atau dibubarkan antaranya Rancangan Selangor Pertama (RS-1). - Bernama

Iklan