Anwar PM: Keluarga, penduduk Cheruk Tok Kun bangga

Iklan
Idris ketika ditemu bual Bernama di Cherok Tok Kun pada Khamis. - Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM - Ahli keluarga, rakan dan penduduk di Cheruk Tok Kun di sini teruja dan berbangga apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan anak jati di situ mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis.

Mereka bangga, gembira dan teruja apabila Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun itu dipilih menjadi orang nombor satu negara dan berharap beliau dapat menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Iklan
Iklan

Abang sulung Anwar, Idris, 80, yang ditemui di rumah keluarga mereka di Cheruk Tok Kun, di sini berkata, mereka sekeluarga bersyukur dan gembira kerana selepas 28 tahun perjuangan Anwar akhirnya termakbul untuk beliau menjadi pemimpin nombor satu negara.

"Sebaik dimaklumkan yang Anwar telah dipilih sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini, perasaan kami sekeluarga tidak dapat digambarkan kerana ia bercampur baur antara gembira, teruja dan sedih... sedih itu sebab perjuangannya selama ini akhirnya termakbul.

Iklan

"Anwar ini dari zaman mudanya memang suka membantu orang ramai, dulu selepas habis belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan beliau balik ke sini (Cheruk Tok Kun) dengan membuka kelas tambahan kepada anak-anak kampung tapi bukan sahaja di Cheruk Tok Kun malah di Alma dan Machang Bubok kerana dia mahu mereka berjaya," katanya.

Idris yang merupakan pesara guru berkata, besar harapannya agar apa yang dijanjikan Anwar terutama dapat membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dan pendidikan dapat ditunaikan ketika adiknya itu menjadi Perdana Menteri.

Katanya, Anwar sejak kecil juga merupakan seorang yang cekal dan suka membantu, jadi beliau percaya perit jerihnya menjadi ahli politik malah difitnah serta dituduh dengan pelbagai tohmahan selama ini terbalas dengan pelantikan sebagai Perdana Menteri.

Iklan

"Sekarang ini adalah masa untuk Anwar menjalankan kerja-kerjanya dan saya harap beliau dapat melaksanakan tanggungjawabnya," katanya sambil memaklumkan kali terakhir berbual dengan Anwar adalah menerusi panggilan telefon sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.

Yusof dan Mohd Haikal.

Sementara itu, rakan Anwar sejak kecil Yusof Abd Rahman, 75, yang juga jiran sebelah rumah keluarga Anwar berkata, mereka berkawan sejak kecil hingga bersekolah darjah empat sebelum beliau berpindah ke sekolah lain namun sehingga hari ini persahabatan mereka terus kekal.

"Saya yakin Anwar dapat menjadi Perdana Menteri terbaik di negara kita kerana dari kecil beliau bukan sahaja ada sikap sebagai pemimpin malah juga sebagai pendamai kalangan kawan-kawan jika ada yang bergaduh di antara kami.

"Sebagai kawan dan penduduk di Cheruk Tok Kun ini, kami semua berbangga apabila beliau dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara... Anwar ni sampai sekarang kalau nampak rakan-rakannya walaupun kami berada di tepi jalan dia akan berhenti sekejap untuk bertanya khabar," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori.

Bagi Mohd Haikal Abd Hamid, 40, yang merupakan peniaga kedai makan berkata, beliau begitu gembira selepas mendapat tahu Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri hari ini kerana akhirnya beliau dipilih menjawat jawatan tersebut.

"Siapa yang tidak gembira dan teruja apabila anak jati di sini dilantik sebagai Perdana Menteri, sudah pasti kami bersyukur akhirnya cita-cita beliau mahu memimpin negara akhirnya termakbul...kami sudah tentu teruja dengan perkembangan ini," katanya.

Anwar pada Khamis mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; Perikatan Nasional 73 kerusi; Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (23); GRS (enam); Parti Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi. - Bernama