SHAH ALAM - Barisan kabinet Kerajaan Perpaduan perlu terdiri daripada pemimpin yang dekat dengan isu rakyat waima sekadar tentang isu telur di pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Dr Mohd Muzzammil Ismail berkata, pendekatan itu bagi memastikan kerajaan baharu yang menerajui negara ini mampu membela nasib rakyat yang perlu diberi perhatian.
Menurutnya, secara tidak langsung ia mampu menjadi satu nilai tambah kepada kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai pengaruh besar dalam hubungan diplomatik antarabangsa demi kestabilan ekonomi negara.
"Kita tahu berlaku inflasi, kadar dasar semalaman (OPR) juga naik beberapa kali sepanjang tahun. Jadi ini perkara yang perlu diberikan oleh kerajaan baharu ini melalui barisan kabinet yang bakal dibentuk.
"Kalau kita lihat konsep Islam itu sendiri, kita pilih dua ciri pemimpin iaitu orang yang memang layak berada di satu tempat itu bukan hanya kerana politik, bukan juga kerana habuan dan pemimpin yang jujur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk 'Akhirnya Anwar PM Kerajaan Perpaduan' yang disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Program yang dikendalikan oleh Fahiz Ariff itu turut menampilkan Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan, Khairul Ariffin Mohd Munir; Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid; dan Mantan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sebagai panelis.
Mengulas lanjut, Mohd Muzzammil berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada golongan B60, orang kurang upaya (OKU), peniaga dan pekerja yang terkesan akibat pandemik Covid-19 khususnya mereka yang duduk di bandar.
Katanya, kerajaan baharu juga perlu melihat kepada bagaimana peluang pekerjaan diwujudkan.
"Kerajaan Perpaduan dikatakan sangat rapuh. Jadi rakyat bimbang. Saya harap ahli politik elakkan berpolitik dan fokus dengan apa yang perlu dilakukan untuk rakyat," tegas beliau.