BATU KAWAN - Dewan Pemuda Pas Kawasan Batu Kawan membantah penganjuran konsert Songkran yang akan berlangsung di sebuah pusat membeli belah di Bandar Cassia di sini minggu ini.
Ketua Penerangan dan Dakwah Dewan Pemuda Pas Batu Kawan, Nizar Ahmad Tajudin berkata, penganjuran konsert Songkran ini adalah pengkhianatan terhadap sosio budaya dan nilai tatasusila agama di negara kita.
Menurutnya, pihaknya mengakui bahawa orang bukan Islam mempunyai hak untuk berhibur namun dalam ruang lingkup yang dibenarkan.
"Islam tidak pernah menyekat hiburan namun Islam amat bertegas dalam prinsip dan tidak membiarkan penularan gejala-gejala keruntuhan sosial berlaku terutama di kawasan majoriti penduduk Islam.
"Umat Islam diharamkan sama sekali untuk terlibat dengan konsert Songkran ini dan kami amat kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang telah meluluskan penganjuran pesta maksiat ini yang mencemarkan sensitiviti umat Islam khasnya di Batu Kawan yang pada ketika ini sedang menanti kehadiran bulan mulia Ramadan," katanya di sini.
Beliau berkata, penganjuran acara seperti ini hanya akan mengundang laknat daripada ALLAH dan seharusnya semua sedar telah banyak bala dan bencana berlaku khususnya di Pulau Pinang sebelum ini.
Justeru itu, pihaknya berharap umat Islam tidak terlibat sama sekali dalam perkara ini dan kepada orang bukan Islam agar mereka faham bahawa lunas-lunas keagamaan dalam semua agama tidak membenarkan penularan gejala yang tidak baik dalam masyarakat.