Pahang ikut Pusat bentuk kerajaan negeri?

Iklan
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail - Foto Bernama

KUANTAN - Memasuki hari keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), status kerajaan negeri Pahang yang tergantung terus menjadi teka-teki.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Barisan Nasional (BN) Pahang berhubung hasil rundingan yang dikatakan sudah diadakan bersama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) negeri ini.

Iklan
Iklan

Walaupun besar kemungkinan berlaku gabungan untuk membentuk kerajaan negeri, persoalan ketika ini adalah antara pihak mana, sama ada BN dan PH atau BN dan PN?

Berdasarkan kenyataan media dikeluarkan PH dan PN Pahang, masing-masing optimis dengan hasil rundingan itu, namun jawapannya kini berada pada Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.Biarpun PN menang 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kelebihan satu kerusi berbanding BN 16 kerusi, angka itu tidak mencukupi bagi kedua-dua pihak mendapat majoriti mudah.

Iklan

Bagaimanapun, dengan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis dan kemungkinan kerajaan perpaduan bakal terbentuk seolah-olah akan ada jawapan kepada perkembangan pembentukan kerajaan negeri Pahang baharu.

Besar kemungkinan Pahang akan mengikuti jejak kerajaan Pusat sebagaimana andaian Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar sebelum ini.

Iklan

Ketika ini Wan Rosdy sudah berada di Pahang dan beliau kelihatan bersama calon BN bagi DUN Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada hari penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin pada Khamis.

Kemungkinan akan ada kenyataan dikeluarkan dalam masa terdekat dan pihak media sedang mengikuti rapat perkembangan tersebut.