Mualaf bimbang nasib, masa depan lima anak OKU

Iklan
Mas Imran (kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Mohd Hassan di PPR Sri Stulang, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Seorang mualaf yang menjaga isteri sakit dan lima anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) bimbang dengan masa depan mereka sekeluarga.

Menurut Mohd Hassan Basri Abdullah, 40, dia menghidap pelbagai penyakit kronik seperti masalah hati, usus, tiroid, saraf sendi dan tulang sudah tidak mampu lagi bekerja.

Iklan
Iklan

Katanya, dia hilang upaya untuk bekerja sejak pertengahan tahun lalu selepas disahkan mengalami masalah jantung.

"Sebelum ini saya mengutip barangan elektrik terpakai dan membaikinya untuk dijual semula.

Iklan

"Namun akibat mengalami masalah jantung saya tidak dapat melakukan kerja yang berat dan tidak dapat berjalan lama kerana mudah sesak nafas," katanya ditemui pemberita di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini pada Khamis.

Keluarga berkenaan sebelum itu menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam yang menyumbang barangan keperluan harian bagi meringankan beban Mohd Hassan.

Iklan

Mohd Hassan berkata, isterinya, Norain Zailani, 33, bekas pekerja bahagian pembersihan menghidap anemia, penyakit kulit kronik (ekzema), ketumbuhan di hidung dan salur mata selain masalah jantung.

Katanya, Norain juga dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada bulan lalu akibat serangan jantung.

"Sejak beberapa bulan lalu isteri hanya mampu bergerak dengan kerusi roda selain menggunakan tongkat. Keadaan tubuhnya di bahagian kiri masih lemah dan ia menimbulkan kesulitan kerana kami tinggal di tingkat empat di flat ini," katanya.

Apa yang dirisaukan ketika ini katanya, nasib lima anaknya pada masa akan datang apabila dia dan isteri sudah tiada.

"Saya tidak mahu mereka dipisahkan sekiranya kami tiada lagi. Lima daripada enam anak saya berstatus OKU kerana mengalami masalah disleksia dan ADHD (Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan). Hanya anak bongsu normal," katanya.

Ketika ini katanya, mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM1,000 selain bantuan Baitulmal sebanyak RM400.

Sementara itu, Norain berkata, sudah hampir tiga tahun dia tidak membelikan anak-anaknya pakaian baharu, sebaliknya hanya mengutip baju lusuh dan pemberian orang ramai.

"Kami bersyukur kerana rakan suami meminjamkan kereta sejak setahun lalu untuk digunakan ke hospital bagi mendapatkan rawatan atau menjalani pemeriksaan kesihatan," katanya.

Norain berharap ada pihak yang menyumbangkan tongkat atau kerusi roda yang bersesuaian bagi memudahkan pergerakannya kerana peralatan digunakan dipinjam daripada kenalannya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 01002-41-00007440-4 milik Norain Zailani atau menghubungi 011-63640049.