JURULATIH Cameroon, Rigobert Song mengakui berbangga dengan aksi yang ditampilkan 'adik kecil', Breel Embolo meskipun pemain Switzerland itu menjadi punca kekalahan pasukannya selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan pada aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia di Stadium Al Janoub pada Khamis.
Embolo yang dilahirkan di Yaounde, Cameroon menjaringkan gol kemenangan buat Switzerland pada minit ke-48 namun enggan meraikannya sebagai tanda hormat kepada negara kelahirannya.
Iklan
Iklan
"Kami mengenali antara satu sama lain dan dia adalah 'adik kecil' saya. Kami sering bercakap antara satu sama lain melalui telefon dan saya ingin mengucapkan tahniah kepadanya.
"Ia adalah permainan yang adil untuk berbuat demikian. Hanya kerana kami berada dalam pasukan yang berbeza, itu tidak bermakna kami masih tidak bersaudara,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Tambah Song lagi, walaupun jaringan Embolo menyebabkan pasukannya tewas pada aksi tersebut, namun dia berbangga kerana Embolo telah menjaringkan gol di Piala Dunia.
"Kalau boleh sudah tentu saya mahu dia berada di pihak kami tetapi inilah cara kehidupan. Bagi kami perkara yang paling penting ialah carabermain di atas padang dan apa yang boleh dilakukan untuk menjadi lebih baik.
"Saya rasa ia lebih bagus berbanding dari memikirkan siapa yang menjaringkan gol menentang kami,” ujarnya.