PM beri keutamaan tangani isu kos sara hidup

Iklan
Anwar mengaminkan doa sebelum memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mula menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri pada Jumaat, menegaskan isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan perpaduan pimpinannya bagi mengurangkan beban dialami rakyat ketika ini.

Beliau berkata, satu pertemuan dengan agensi dan jabatan berkaitan akan diadakan selewat-lewatnya Isnin ini bagi membincangkan isu kos sara hidup termasuk harga barang.

Iklan
Iklan

"Walau ada (petanda) positif umpamanya dengan kekuatan ringgit dan juga soal bursa saham yang menunjukkan keyakinan kepada pentadbiran kerajaan sekarang.

"Saya rasa, keutamaan itu harus terhadap kos sara hidup iaitu harga barang yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat,” kata beliau pada sidang media pada hari pertamanya di Perdana Putra di sini.

Iklan

Anwar pada Jumaat bertemu dengan pegawai tertinggi kerajaan antaranya Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau yang berbaju Melayu lengkap bersamping itu turut menerima dokumen rasmi pentadbiran kerajaan daripada Mohd Zuki.

Iklan

Anwar turut menzahirkan keyakinan pegawai-pegawai tinggi kerajaan akan membantu kerajaan pimpinannya menangani kos sara hidup yang melanda negara ketika ini.

"Saya faham Isnin ini cuti awam, kalau mereka (pegawai agensi dan jabatan) agak keberatan saya boleh tangguhkan (pertemuan).

Beliau turut menyatakan kabinet yang akan dibentuknya nanti akan menaikkan kembali martabat Malaysia ke persada antarabangsa.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Khamis.

Pada sidang media sulungnya sebagai Perdana Menteri, Anwar menegaskan, kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan. - Bernama