JOHOR BAHRU - Satu inisiatif mengumpul tandatangan sebagai menyokong Dr Maszlee Malik dilantik sebagai Ahli Dewan Negara seterusnya diangkat sebagai Menteri Pendidikan sedang digerakkan.
Inisiatif tersebut digerakkan menerusi laman sosial change.org.
"Kami rakyat Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perlantikan sebagai Perdana Menteri ke-10.
"Kami menyeru Perdana Menteri untuk melantik Dr. Maszlee Malik sebagai Ahli Dewan Negara seterusnya diangkat sebagai Menteri Pendidikan.
"Kami ibu bapa, guru-guru dan rakyat Malaysia percaya dengan kebolehan Dr. Maszlee Malik memimpin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Selamatkan pendidikan anak-anak OKU. Selamatkan Murid Keciciran. Selamatkan Pendidikan Malaysia," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam dalam pertembungan empat penjuru.
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad menang dengan majoriti 1,821 undi menewaskan Maszlee dari Pakatan Harapan (PH).
Hasni meraih 18,312 undi sementara Maszlee mendapat sebanyak 16,491 undi diikuti calon daripada Perikatan Nasional (PN), Fazrul Kamat dengan 9,077 undi dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) sebanyak 251 undi.