PM belum buat keputusan jadi Menteri Kewangan

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra pada Jumaat.

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum membuat sebarang keputusan sama ada akan memegang portfolio Menteri Kewangan bagi mengecilkan saiz kabinet yang bakal dibentuknya.

Anwar berkata, pihaknya akan melihat segala kemungkinan dan setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat mengenainya.

Iklan
Iklan

"Kami akan meneliti semua kemungkinan, namun setakat ini saya belum mempertimbangkan (jawatan Menteri Kewangan)," katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di sini pada Jumaat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebelum ini berjanji untuk merealisasikan janji mengecilkan saiz kabinet kerajaan perpaduannya kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding jumlah 31 menteri dalam pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Iklan

Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, Anwar pernah memegang portfolio Menteri Kewangan selama lapan tahun bermula dari tahun 1990 hingga 1998 sebelum dipecat daripada kabinet Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamed.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengalaman hari pertamanya menjadi Perdana Menteri, Anwar berkata, banyak isu yang harus dilihat dan diselesaikan.

Iklan

"Hari ini baik, tapi sibuk dengan isu besar yang perlu diteliti dan diselesaikan," ujarnya.

Anwar tiba di Masjid Putra jam 1 tengah hari sebelum pulang ke Pejabat Perdana Menteri jam 2 petang.

Kehadiran beliau disambut ribuan jemaah yang turut hadir menunaikan solat Jumaat.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu bagi membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

PRU15 menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi, PN (73), BN (30), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua), manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), masing-masing menang satu kerusi.