KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak masak ke negara jiran menggunakan syarikat pengendali perkhidmatan penghantaran.
Dalam serbuan jam 9.15 malam pada Khamis itu KPDNHEP Kelantan turut menahan empat suspek yang merupakan pemandu lori dan kelindan berumur sekitar 20 hingga 30-an bagi membantu siasatan.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, kejayaan itu berjaya mengekang cubaan menyeleweng 8,500 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM21,250.
"Pada jam 9.15 malam kami telah menahan dua buah lori milik syarikat pengendali khidmat penghantaran di hadapan Balai Polis Kota Bharu.
"Kenderaan tersebut dipercayai membawa barangan kawalan bersubsidi dari luar Kelantan untuk dihantar ke sebuah premis transit di sini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui minyak masak bersubsidi dengan anggaran 8,500 kg di dalam kenderaan terbabit.
Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati barangan kawalan bersubsidi terbabit dipesan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali melalui pesanan yang dibuat menggunakan aplikasi khidmat syarikat penghantaran dan hanya berhubung melalui telefon.
Tambah Azman, sebelum itu satu aduan telah dibuat oleh seorang pemilik lesen borong barang kawalan yang menafikan bahawa pihaknya membuat tempahan terbabit.
"Disyaki lesen pemborong itu digunakan oleh sindiket dan dari situ pihak kami telah menjalankan Ops Membanteras Ketirisan Barang Kawalan.
"Pasukan bertindak menyita minyak masak bersubsidi terbabit berserta dua buah kenderaan dengan pendaftaran tempatan membabitkan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM121,250 bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," jelasnya.
Beliau memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan tersebut.
"Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil KPDNHEP selanjutnya," katanya.