JOHOR BAHRU - Isu pembubaran DUN yang dikemukakan Umno Johor susulan peletakan jawatan Menteri Besar Johor, baru-baru ini tidak akan diteruskan.
Perkara itu diumumkan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad selepas menerima titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu isu terbabit tidak lagi dibangkitkan.
"Saya menerima cadangan Sultan Ibrahim supaya isu pembubaran DUN Johor tidak dibangkitkan pada waktu ini. Ini kerana baginda bertitah perkara itu boleh menimbulkan krisis perlembagaan di Johor.
"Jadi untuk mengelak krisis berpanjangan dan membuktikan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 adalah undang-undang lengkap, maka pembubaran DUN pada waktu ini sekiranya tidak dilakukan akan dapat mengelak berlakunya krisis perlembagaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, Sultan Ibrahim juga menitahkan ahli UMNO memahami dengan jelas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor bagi mengelakkan berlakunya tafsiran yang silap.
"Tuanku tidak mahu rakyat terkeliru apabila adanya pihak yang membuat pelbagai konotasi dan tafsiran contohnya undang-undang tubuh ini sekiranya terdapat pertikaian maka Perlembagaan Persekutuan mengatasinya," katanya.
Dalam pada itu, Hasni berkata, UMNO Johor akan memberi peluang kepada lantikan baharu untuk melakukan tugas membangunkan Johor.
"Namun saya selaku Ketua Pembangkang tidak akan berhenti menuntut kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab membela rakyat Johor dan kami sebagai pembangkang akan melaksanakan konsep semak dan imbang supaya pentadbiran negeri lebih telus dan berwibawa," katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim mengeluarkan titah berkenaan ketika mengadakan pertemuan bersama ADUN Benut itu di Istana Pasir Pelangi, kira-kira jam 11 pagi tadi.