KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi ruang seluasnya kepada semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, untuk memberikan pandangan masing-masing pada Mesyuarat Khas MKT UMNO, Rabu lepas.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya berkata, adalah tidak wajar, jika terdapat ahli MT melaporkan dalam media sosial apa jua petikan yang dibuat di luar konteks dan tidak benar mengenai mesyuarat khas itu kerana ia melanggar tatasusila mesyuarat.
Beliau berkata, Mesyuarat MT UMNO itu juga berlangsung selama hampir empat jam berakhir jam 1 pagi, dan berjalan dalam suasana yang tenang bermula dengan sumpah kerahsian beberapa ahli yang baharu dilantik.
Ahmad berkata, pelantikan baharu itu melibatkan 'Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah sebagai ahli MT; Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.
Dalam kenyataan pada Rabu, Ahmad berkata, UMNO menyokong untuk menyertai kerajaan perpaduan seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun bukan diterajui Perikatan Nasional (PN).
Katanya, mesyuarat tersebut juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang dimasyhurkan Seri Paduka.
Mesyuarat MT UMNO turut memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO. - Bernama