SHAH ALAM - Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memastikan agar agenda memerangi rasuah tidak diabaikan.
Meskipun Kerajaan Perpaduan adalah baharu dan pemimpin berkemungkinan perlu melakukan penyesuaian, C4 berkata, perkara itu tidak seharusnya mengorbankan amalan tadbir urus yang baik atas nama ‘kemudahan’ dan ‘kecekapan’ atau kesesuaian politik.
"Kerajaan Perpaduan yang baharu ini juga hadir sama dengan pemerhatian yang ketat. Jika pentadbiran tidak dapat mengekalkan kepercayaan rakyat atau rakan-rakan pemimpin di Parlimen, kerajaan berkemungkinan besar boleh pecah dan runtuh.
"Rakyat Malaysia tidak mampu menanggung lebih banyak ketidakstabilan dan sudah tentu ia tidak berulang ‘Langkah Sheraton' pada Februari 2020.
"Ia adalah demi kepentingan terbaik kerajaan dan negara untuk memerintah secara telus dengan akauntabiliti sebagai komponen utama untuk membina semula negara yang lebih baik selepas kelemahan pentadbiran sebelumnya.” menurut C4 dalam kenyataan pada Jumaat.
Pusat pemerhati bebas itu berkata, dalam usaha memastikan pentadbiran baik tanpa rasuah, kerajaan baharu hanya perlu merujuk kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 yang menurutnya telah memberikan gambaran menyeluruh tentang bidang memerlukan pembaharuan.
Katanya, pelaksanaan pelan itu juga akan membawa undang-undang dan dasar Malaysia lebih dekat untuk memenuhi kewajipannya di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).
Dalam pada itu, C4 berkata, kerajaan baharu juga sepatutnya tidak mempunyai alasan untuk menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik di Dewan Rakyat memandangkan pentadbiran terdahulu telah memberi jaminan untuk melaksanakannya dalam waktu terdekat.
Pusat pemerhati rasuah itu juga berkata, beberapa bulan akan datang bakal menjadi penentu terhadap komitmen kerajaan di bawah pimpinan Anwar untuk melaksanakan tadbir urus yang baik dan agenda reformasi.
"Pembaharuan ini perlu dimulakan dengan cepat dan tanpa berlengah-lengah.
"Sehubungan dengan ini, Pusat C4 ingin mengulangi kesediaan kami untuk bekerjasama dengan kerajaan dan menyediakan kepakaran atau bantuan dalam memastikan pembaharuan ini dilaksanakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, C4 turut mengingatkan kerajaan agar tidak mengganggu mana-mana prosiding jenayah penyalahgunaan kuasa dan kedudukan membabitkan bekas pegawai kerajaan tidak kira daripada mana-mana parti politik termasuk yang mempunyai kedudukan di Parlimen.
"...terutamanya dengan mengambil kira keputusan Anwar untuk mengadakan undi percaya bagi kerajaan baharu pada 19 Disember 2022.
"Perkara di atas adalah penting untuk membina keyakinan awam, menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa tidak ada tempat untuk rasuah dalam pentadbiran baharu, tiada siapa boleh lari dari keadilan dan sokongan untuk mentadbir tidak boleh datang daripada naungan serta politik wang,” ujarnya.