Bayaran 'one-off' RM1,000 kepada penggali kubur

Iklan
Aminuddin (berdiri) ketika Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang ke-14, pada Jumaat.

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan bayaran insentif 'one-off' berjumlah RM1,000 akan diberi kepada penggali kubur pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, insentif yang membabitkan peruntukan RM0.90 juta itu sebagai tanda kasih sayang dan menghargai jasa seramai 909 penggali kubur.

Iklan
Iklan

"Namun mesej tersembunyi yang ingin disampaikan ialah akhlak dan pengorbanan Tok Adi yang sanggup memerah kudrat bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah untuk menggali kubur apabila berlaku kematian," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang ke-14, pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, penggali kubur apabila berlaku kematian adalah individu paling terakhir yang berjasa kepada masyarakat tanpa mengira darjat dan kedudukan.

Selain itu katanya, sebanyak RM1.68 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf fasiliti di 21 Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang memerlukan penyelenggaraan.

Iklan

Ujarnya, ia bagi memastikan institusi SAR dipelihara dengan baik serta memastikan keselesaan pelajar-pelajar dengan anggaran peruntukan sehingga RM80,000 bagi setiap sekolah.

Aminuddin berkata, bagi meneruskan usaha memartabatkan institusi pentadbiran Islam, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM6.0 juta untuk Pembinaan Kompleks Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Port Dickson.

"Lokasi pembinaan adalah di atas tanah rizab Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Jalan Pantai Batu 2, Port Dickson," katanya.