22 hari Acap hilang: Polis kaji laluan trek, maklumat lain

Iklan
Sebahagian anggota PDRM yang terlibat dalam Op Kesan dalam usaha mencari Mohammad Ashraf yang dijalankan pagi hingga jam 2 petang hari ini. (Gambar kecil:Yahya Abd. Rahman)

GOPENG - Polis Perak akan mengkaji geografi laluan trek perlumbaan dan kawasan sekitarnya dalam usaha mencari dan menyelamat(SAR) peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, sejak 23 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, pihaknya juga akan mengkaji maklumat lain berkaitan kes kehilangan Juruteknologi Makmal di Klinik Kesihatan Bandar Maharani, Muar yang memasuki hari ke-22 dia dilaporkan hilang.

Iklan
Iklan

"Walaupun Operasi Khas Op Kesan yang kita jalankan hari ini gagal menemui sebarang petunjuk baharu, pencarian tidak akan berakhir di sini kerana kita akan terus menyiasat.

"Pihak polis akan mengkaji faktor-faktor lain seperti geografi kawasan ini serta maklumat lain dan kita tidak teragak-agak untuk mengumpulkan pegawai dan anggota yang lebih ramai sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Operasi Khas Op Kesan tamat pada pukul 2 petang di Gua Tempurung di sini hari ini.

Iklan

Menurut Yahya, pihaknya tidak kecewa walaupun gagal menemui sebarang petunjuk baharu malah ia menunjukkan komitmen Polis Perak terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam usaha mencari mangsa.

"Pencarian yang dilakukan hari ini melibatkan kawasan penamat perlumbaan sehingga ke titik terakhir signal telefon mangsa dikesan sebelum ini sejauh 2.8 kilometer (km).

Iklan

"Kita telah melakukan fokus pencarian seluas radius 4.14km persegi terutama di kawasan paya, lombong tinggal dan anak sungai namun masih belum menemui sebarang petunjuk," katanya.

Yahya turut memaklumkan pihak polis sekali lagi menegaskan tiada unsur khianat dalam kejadian tersebut dan menyiasatnya mengikut kes orang hilang.

"Kes ini berlainan dengan kejadian orang hilang yang disiasat polis sebelum ini yang biasanya mempunyai kaitan dengan melarikan diri kerana masalah keluarga.

"Walaupun Ashraf hilang di dalam hutan, kita bagaimanapun percaya dia tidak diserang binatang liar kerana tiada sebarang kesan dan petunjuk ke arah itu setakat ini,” katanya.

Mohd Zahiruddin setia mencari adiknya dan yakin Mohamad Ashraf masih hidup.

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Zahiruddin berkata, ahli keluarganya tetap yakin Ashraf atau Acap masih hidup.

"Kami sekeluarga terutamanya ibu masih yakin adik masih hidup dan oleh sebab itu usaha mencarinya tetap diteruskan setiap hari.

"Jika dia sudah meninggal, anjing pengesan sudah tentu boleh menjejakinya namun sehingga hari ini masih lagi belum dapat menemuinya,” katanya.