JARINGAN Enner Valencia menghidupkan peluang Ecuador kembali bersaing merebut slot pusingan 16 terbaik selepas mengikat Belanda, 1-1 dalam perlawanan Kumpulan A Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Sabtu.
Keputusan tersebut juga menyaksikan tuan rumah menjadi pasukan pertama tersingkir selepas tewas 1-3 kepada Senegal dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Thumama, Doha sebelum itu.
The Oranje yang dikemudikan pengendali berpengalaman Louis van Gaal terlebih dulu di depan hasil jaringan minit keenam bintang kelab Eredivisie Belanda, PSV Eindhoven, Cody Gakpo yang menterjemahkan tindakan Davy Klaassen berikutan kealpaan Moises Caicedo.
Tricolors yang dibarakan Gustavo Alfaro pada separuh masa pertama memiliki beberapa peluang menyamakan kedudukan, termasuk jaringan penghujung babak Pervis Estupinan dinafikan ofsaid, selain kecemerlangan Andries Noppert di benteng terakhir Oranje.
Ecuador kemudiannya bangkit di babak kedua bermula dengan percubaan Gonzalo Plata dalam memburu jaringan penyamaan.
Gol Tricolors akhirnya hadir menerusi Valencia pada minit ke-49', sekali gus menjadi penjaring terbanyak kejuaraan setakat ini dengan tiga gol selepas menghadirkan dua sentuhan ketika menjinakkan Qatar, 2-0 pada Isnin lalu.
Pemain berusia 33 tahun itu, kini telah menjaringkan enam gol di pusingan akhir Piala Dunia Ecuador – tiga pada kejohanan 2014 di Brazil dan tiga di Qatar.
Keputusan itu menyaksikan Belanda dan Ecuador kini berada dikedudukan satu dua kumpulan dengan empat mata, diekori rapat Senegal tiga mata manakala Qatar tanpa sebarang mata.