Joshua tawan Silverlake

Iklan
Joshua menjuarai kategori elit lelaki ATC 2022 di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah pada Sabtu. - Foto Agensi

ATLET Australia, Joshua Ferris mencipta kejutan apabila menjuarai kategori elit lelaki Piala Triatlon Asia (ATC) 2022 yang berlangsung di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah, Ipoh, Perak pada Sabtu.

Sekalipun tampil sebagai atlet bukan pilihan, Joshua membuktikan kehebatannya dalam mengungguli tiga disiplin sukan - renang, berbasikal dan larian sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan 53 minit dan 53 saat (s).

Iklan
Iklan

Atlet berusia 21 tahun itu yang menduduki ranking ke-35 Asia berjaya meninggalkan dua pencabar terdekatnya dari Hong Kong, Wong Tsz To dan Yu Shing Him yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

"Ia satu persaingan yang cukup mengujakan sejak awal perlumbaan lagi, bermula dalam disiplin renang. Setiap atlet masing-masing cuba untuk mendapatkan momentum terbaik apabila mula terjun ke tasik.

Iklan

"Saya juga sebegitu. Tetapi pada awal persaingan, saya tidak terlalu mahu 'menekan' bagi mengelak kehilangan tenaga. Saya hanya cuba kekal dengan rentak dan berada dalam kelompok peserta di depan.

"Apabila memasuki disiplin kedua (berbasikal) dan terakhir (larian), saya mula mempercepatkan tempo. Walaupun mendapat cabaran hebat daripada atlet lain, saya cuba kekal berada di depan sehingga akhir saingan,” katanya.

Iklan

Joshua berkata, dia bersedia untuk kembali 'menggegarkan' Silverlake Village Outlet sekiranya ATC yang dianggap kejohanan triatlon berprestij di rantau Asia dianjurkan di negara ini tahun depan.

"Saya harus memberikan kredit kepada pihak penganjur (Persatuan Triatlon Perak dan Persatuan Triatlon Malaysia) atas penganjuran ATC ini. Ia satu penganjuran yang hebat apabila dapat menghimpunkan ramai peserta terbaik di Asia.

"Sudah tentu, cabaran di Malaysia berbeza dengan penganjuran kejohanan triatlon di negara lain. Tetapi itulah yang menjadikan ATC di Malaysia sebagai antara kejohanan triatlon terbaik di peringkat antarabangsa.

"Saya tidak sabar untuk kembali beraksi lagi di Malaysia. Saya harap ATC akan dilangsungkan di Malaysia tahun depan dan lebih ramai atlet terbaik di peringkat Asia mahupun dunia bertanding,” ujarnya.

Dalam pada itu, pujian juga harus diberikan kepada lima atlet lelaki negara - Xian Hao Chong, Isaac Tan, Chong Yoong Thiang, Wen Jun Lee dan Seh Kit Nicholas Long yang berjaya menamatkan perlumbaan bagi kategori elit lelaki.

Bagi kategori elit wanita, atlet Jerman, Celine Kaiser muncul juara dengan catatan masa 1:00:52s, manakala Olivia Thornbury dari New Zealand dan Manami Hayashi (Jepun) masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga.

"Saya tidak sangka dapat menjuarai saingan ATC di Malaysia walapun pada awalnya, saya ada meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 teratas. Apapun ia satu perasaan yang amat hebat apabila berada di podium utama,” jelasnya.

Esok, dua lagi acara bakal menjadi rebutan iaitu kategori Olympic Distance (OD) Race lelaki dan wanita serta kategori Sprint Distance (SD) Race bagi lelaki dan wanita.