JOHOR Darul Ta'zim boleh dikatakan menang awal menentang Selangor FC berdasarkan kehadiran penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi bagi menyaksikan final Piala Malaysia malam ini.
Berdasarkan pemerhatian di pekarangan stadium setakat jam 5 petang, penyokong JDT dilihat hadir awal ke venue perlawanan akhir berbanding penyokong Selangor FC.
Difahamkan kelewatan penyokong Selangor FC hadir ke stadium berbanding JDT mungkin disebabkan rata-rata jarak tempat tinggal penyokong Gergasi Merah lebih dekat berbanding JDT yang rata-ratanya hadir dari Johor
Antara yang mencuri tumpuan adalah kelibat seorang penyokong yang hadir dengan berpakaian harimau bagi menyaksikan perlawanan akhir tersebut.
Ketika ditemui, penyokong yang ingin dikenali sebagai Marlinda berasal dari Pontian itu mengakui kostum terbabit sememangnya menjadi 'pakaian seragam' setiap kali turun menyaksikan perlawanan membabitkan JDT.
"Di mana sahaja sama ada perlawanan liga ataupun final, saya memang memakai kostum ini.
"Ada yang bertanyakan sama ada panas atau tidak memakai kostum ini ke stadium tetapi bagi saya tidak panas kerana sudah biasa," katanya.
Sementara itu, penyokong Selangor, Azwan Waifa, 21, memberitahu tiada istilah rugi untuk turun ke stadium sekalipun sedar JDT sememangnya tampil sebagai pasukan pilihan.
"Kita tahu JDT memang satu pasukan yang handal dan Selangor FC sudah lama tidak memenangi piala.
"Tiada rasa rugi (jika Selangor FC tewas) kerana asalkan ada jiwa Selangor dan kita pun mahu lihat skuad Gergasi Merah di aksi final.
"Saya yakin Selangor FC mampu memberi saingan kerana pasukan telah menunjukkan peningkatan yang positif di bawah kendalian Tan Cheng Hoe,” katanya.