SHAH ALAM - Kemenangan Perikatan Nasional (PN) di enam kerusi Parlimen di Selangor memberi suntikan semangat kepada gabungan itu untuk membuat persediaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka tahun depan.
Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Shukri Omar berkata, kesemua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu adalah kawasan majoriti Melayu.
Menurutnya, Pas Selangor turut mencipta sejarah apabila buat pertama kali berjaya menawan tiga kerusi Parlimen iaitu Kapar, Kuala Langat dan Hulu Selangor.
"Jentera semakin bersemangat khususnya dengan suntikan motivasi kemenangan PN di enam kerusi Parlimen.
"Kejayaan tersebut menunjukkan Selangor bukannya kubu kuat Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika ditanya berkenaan persiapan menghadapi PRN Selangor dijangka tahun depan.
Sebanyak 22 kerusi Parlimen dipertandingkan di Selangor pada PRU15 lalu menyaksikan PH menang 16 kerusi sementara PN dengan enam kerusi.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor berkata, PN akan terus fokus persiapan PRN ke arah menawan Selangor.
"Gelombang sokongan anak muda kepada PN semakin baik dan strategi utama adalah menawarkan solusi dan inisiatif yang sesuai kepada anak muda.
"Pelan tersebut telah dirangka bersama pemegang taruh dan dibentangkan pada masa yang sesuai," katanya.