Lazarul bakal tampil single pertama

Iklan
Penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat dan protege, Lazarul

Biarpun penyanyi kelahiran program realiti Mentor ketujuh, Lazarul kecundang pada minggu kelapan program tersebut, dia tidak pernah berputus asa,

Sebaliknya, bekas protege kepada penyanyi tersohor Datuk Syafinaz Selamat ini sedang menyusun strategi agar namanya kekal relevan dalam industri seni.

Kata Lazarul atau nama sebenarnya Lazarul Afiezy Zakaria, 29, dia bakal muncul dengan single pertama.

"Insya-ALLAH kalau tiada aral melintang, single pertama dijangka siap pada penghujung tahun ini. Saya pilih komposer terkenal iaitu Hael Husaini, Ezra Kong dan Alif Sleeq. Ini kerana mereka mempunyai sentuhan yang tersendiri.

"Kami telah bertemu pada awal tahun ini dan sudah mendengar beberapa lagu. Namun kami belum memilih lagi lagu mana yang lebih sesuai kerana komitmen masing-masing yang agak sibuk buat masa ini.

"Insya-ALLAH, saya menunggu respons daripada mereka dan berharap agar projek single ini segera terlaksana. Saya juga berharap agar peminat terus bersabar menanti kemunculan single pertama ini," katanya kepada Sinar Harian.

Bagi yang mengenali Lazarul, minatnya lebih kepada lagu-lagu berentak balada namun pasaran hari ini dilihat lebih kepada muzik-muzik rancak dan ringan. Walaupun pilihannya ialah lagu balada namun Lazarul akur yang dia harus mengikuti kehendak cita rasa pendengar masa kini.

"Jika boleh memang saya mahu tampilkan apa yang saya minat iaitu balada. Namun, memandangkan pasaran muzik hari ini, untuk single pengenalan ini biarlah saya hasilkan sesuatu yang dapat menarik perhatian peminat terlebih dahulu.

"Kemudian untuk lagu kedua nanti barulah saya ketengahkan apa yang saya mahukan iaitu power ballad,” ujarnya teruja.

Berbekalkan perancangan dan harapan tersebut, Lazarul berharap namanya tidak dilupakan.

Dalam perkembangan lain, penyanyi Lazarul dan Syafinaz akan mengadakan persembahan bersama-sama pada Jumaat depan bertempat di St. Regis, Kuala Lumpur. Berkongsi mengenai projek itu, mereka akan berduet sebuah lagu Itali berjudul Brindisi, berentak rancak dengan diiringi band orkestra.

"Sementara menunggu masa untuk masuk studio rakaman nanti, saya juga akan mengadakan persembahan pentas pada majlis korporat bersama Datuk Syafinaz yang akan diadakan pada 19 April ini,” kongsi Lazarul.

Walaupun sudah tiga bulan lebih tidak menyanyi, namun Lazarul memberitahu dia sudah biasa bekerjasama dengan penyanyi bersuara soprano tersebut.

"Apa yang saya rasakan sekarang ini hanyalah perasaan teruja. Boleh dikatakan persembahan pertama selepas Mentor 7.

"Setakat ini saya tak bimbang tentang apa-apa kerana sudah biasa menyanyi dengan Datuk Syafinaz. Mungkin dari segi teknikal nyanyian sahaja yang perlu saya asah," akhirinya.