KOTA BHARU - Nelayan laut dalam yang tidak mampu menambah jumlah vesel akibat kos operasi tinggi antara faktor berlaku penurunan jumlah pendaratan bot di Tok Bali, Pasir Puteh.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Saripuddin Tuan Ismail berkata, berdasarkan pemerhatian Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, penurunan nilai mata wang ringgit bukan faktor utama yang menjejaskan pendaratan itu.
Beliau berkata, antara faktor penyebab ialah kadar lesen aktif semakin berkurangan dan sukar diperbaharui kerana kekurangan kru yang mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan vesel sedia ada juga sudah lama.
"Selepas pengumuman kerajaan (Reopening Safely) pembukaan ekonomi semula dan pengisytiharan virus Covid-19 sebagai endemik, sektor perikanan di Kelantan sedang ke arah meningkatkan pendaratan ikan marin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (Pas-Semerak) ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (Belanjawan) ke-3 Penggal Kelima di Kota Darul Naim pada Ahad.
Tuan Saripuddin berkata, Jabatan Perikanan sebagai pemudah cara turut memastikan pengoperasian vesel penangkapan ikan tempatan dapat beroperasi sepenuhnya dengan mematuhi semua langkah kawalan penularan Covid-19 dan dasar prosedur pelesenan.
"Antara program yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan ialah Program Pembangunan Tukun Tiruan Rekreasi Penghalang Pukat Tunda.
"Sebanyak RM270,000 untuk program pembangunan melabuh Tukun Tiruan Penghalang Pukat Tunda di Perairan Tok Bali, Pasir Puteh," katanya.