Terengganu terima 17,000 beg darah

Iklan
Sebahagian penderma yang hadir ketika program derma darah diadakan di Kuala Nerus. Gambar kecil: Dr Mohd Muhaimin

KUALA TERENGGANU - Terengganu menerima kira-kira 17,000 beg darah yang didermakan oleh orang ramai sepanjang tahun ini untuk kegunaan menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan transfusi darah.

Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Mohd Muhaimin Kambali berkata, ia hasil daripada 330 program derma darah dianjurkan unit tersebut dengan kerjasama pelbagai pihak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 10,000 penderma darah tegar direkodkan di Terengganu setakat ini dan mereka memberi sumbangan besar dalam menyelamatkan nyawa dengan menderma darah secara konsisten.

"Jadi kita harap lebih ramai individu tampil menyumbang darah masing-masing di mana-mana lokasi berhampiran mereka dalam usaha membantu insan memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Iklan

Dr Mohd Muhaimin berkata, secara asasnya bekalan darah negeri ini stabil dan mencukupi, namun tidak menolak kemungkinan berlaku kekurangan penderma semasa musim tengkujuh atas faktor cuaca hujan serta banjir.

Sehubungan itu katanya, Unit Transfusi Darah HSNZ akan meneruskan aktiviti derma darah di lokasi terpilih bagi memastikan bekalan pelbagai jenis darah sentiasa mencukupi tanpa mengira situasi.

Iklan

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sentiasa menggalakkan dan kita akan tingkatkan kempen derma darah termasuk menyediakan cenderahati menarik seperti topi, mug dan botol sebagai galakan serta tanda terima kasih atas sumbangan mereka,” katanya.