KLANG - Seorang lelaki ditemui lemas selepas dilihat terkapai-kapai di dalam sungai oleh seorang saksi berhampiran Flat Permai Indah, Pandamaran Jaya di sini, pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 10 anggota bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.34 pagi.
"Anggota bomba telah menyusuri sepanjang sungai sementara anggota PPDA melakukan selaman di dasar sungai," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Norazam berkata, mangsa berjaya ditemui di dasar sungai berkenaan oleh pasukan PPDA selepas beberapa jam operasi mencari dijalankan.
"Mayat mangsa ditemui sekitar satu kilometer (km) dari tempat dia dilihat turun ke sungai.
"Pasukan penyelamat membawa mangsa ke atas darat dan menghubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.42 petang dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.